Wednesday, November 18, 2009

SMKA Melor antara sekolah aliran agama terbaik negeri, kebangsaan

Petikan Akhbar Berita Harian (18 November 2009)


PASUKAN SMKA Melor menjuarai Pertandingan Reka Bentuk Jambatan Antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, baru-baru ini.

Sayangi Sekolah: Misi berjaya

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

SMKA Melor antara sekolah aliran agama terbaik negeri, kebangsaan

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Kota Bharu, Kelantan kini antara sekolah disegani kerana mencatat pencapaian cemerlang sejak tiga tahun lalu.

Berstatus SMKA Gred A luar bandar, sekolah itu mencapai kecemerlangan setelah memfokuskan hala tujunya, iaitu kepemimpinan dan pengurusan organisasi yang proaktif, berdaya saing dan inovatif

Kini, SMKA Melor berada dalam kelompok 10 sekolah terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.


Kejayaan sekolah itu diiktiraf apabila menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori SMKA Kebangsaan 2009 dan Anugerah Kualiti SMKA Kebangsaan 2009 oleh Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

Pengetuanya, Ramli Awang, berkata tumpuan sekolah itu terhadap perancangan program kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pemantapan sahsiah pelajar sejak awal tahun lagi.

WAKIL SMKA Melor, (dari kiri) Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Ilman Ziat dan Nor Hanna Halim menunjukkan piala selepas menjuarai Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Kebangsaan 2009.

Selari dengan misi mentarbiyahkan pelajar untuk mencapai kegemilangan dalam semua aspek terbabit, katanya, setiap aspek dibangun, disubur dan dizahirkan dalam bentuk dokumentasi dan tugas harian pihak pengurusan sekolah serta guru hingga membawa kepada pencapaian membanggakan.

“Dalam peperiksaan SPM 2008 contohnya, kita berjaya mendahului SMKA lain di negeri Kelantan dengan mencatat pencapaian lulus 100 peratus dalam empat subjek iaitu Kimia, Pendidikan Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Prinsip Perakaunan.

“Malah secara keseluruhan, SMKA Melor menduduki tangga keenam dalam kedudukan 10 sekolah terbaik SPM peringkat negeri dan ketujuh di kalangan 10 SMKA peringkat kebangsaan, tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, pencapaian peringkat PMR 2008 juga tidak kurang hebatnya apabila 40 daripada 142 calon memperoleh 9A dengan lulus keseluruhan 99.3 peratus.

Ramli berkata, warga sekolahnya sentiasa menerima perubahan dengan pemikiran positif dan tidak pernah menganggap tanggungjawab diamanahkan sebagai bebanan, sebaliknya cabaran dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

“Perancangan dan hala tuju sekolah dijadikan agenda utama selari dengan objektif mendidik pelajar dengan keperibadian Islam dan membekalkan mereka ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

“Malah, kita juga berusaha mengembangkan potensi, minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan pelajar dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum berteraskan akademik mahupun sukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha itu berhasil apabila pencapaian pelajar dalam aktiviti terbabit meningkat, antaranya muncul johan Pertandingan Model Jambatan Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Malaysia 2009.

Selain itu, johan Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Kebangsaan 2009, tempat kedua Pertandingan Essei Kepenggunaan Kebangsaan 2008, tempat ketiga Pidato Majlis Keselamatan Jalan Raya anjuran Shell Malaysia 2008.

Seterusnya, menduduki tempat ketiga Tilawah al-Quran Kebangsaan 2009 (Lelaki), pingat perak kategori perempuan 14 hingga 17 tahun Kejohanan Taekwando Kebangsaan 2007.

INFO: SMKA Melor


  • Ditubuhkan 4 Mac 1990 menggunakan peruntukan Projek Bank Dunia.
  • Pada awal penubuhan hanya menawarkan satu mata pelajaran iaitu Bahasa Arab.
  • Enrolmen 665 pelajar dan 21 kelas.
  • Berstatus sekolah kawalan di bawah kendalian Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran.
  • 1 comment:

    Amarza said...

    As salam..bagaimana memohon untuk ting 1/14 dan adakah disediakan asrama untuk pelajar jauh

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...