Thursday, November 19, 2009

Permohonan ke SMKA 2010

Permohonan masuk ke SMKA/SABK 2010
Sukacita dimaklumkan bahawa murid-murid yang tamat Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Tahun 2009 adalah layak memohon belajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Tg. Amalin A’ishah Putri, Kota Bharu bagi sesi pengajian Tahun 2010. Keutamaan akan diberikan kepada calon-calon yang
memenuhi kriteria seperti berikut :
1. Lahir pada Tahun 1997
2. Tamat persekolahan Tahun 6 pada Tahun 2009
3. Memperolehi sekurang-kurangnya 4A 1B dalam UPSR 2009
4. Menduduki Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) 2008
5. Mengisi borang permohonan ke Tingkatan 1 SMKA/ SABK 2010
6. Menduduki Ujian Kelayakan ke Tingkatan 1SMKA/SABK 2010

Borang permohonan boleh dimuat turun di sini

Borang yang telah siap disempurnakan,perlu dihantar ke sekolah asal atau PPD berhampiran.
Tarikh tutup: 30 November 2009
Tarikh Ujian: 5 Disember 2009

Pengisytiharan 3 Jawatan Penting Pengawas 2010

Muhammad Haikal b Zainudin
Ketua Pengawas
Nabilah bt Nuairy
Timbalan Ketua Pengawas
Muhammad Aiman b Arifin
Naib Ketua Pengawas


Selamat Menjalankan tugas dan tanggungjawab anda
untuk kecemerlangan SMKA Melor 2010



Wednesday, November 18, 2009

SMKA Melor antara sekolah aliran agama terbaik negeri, kebangsaan

Petikan Akhbar Berita Harian (18 November 2009)


PASUKAN SMKA Melor menjuarai Pertandingan Reka Bentuk Jambatan Antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, baru-baru ini.

Sayangi Sekolah: Misi berjaya

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

SMKA Melor antara sekolah aliran agama terbaik negeri, kebangsaan

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Kota Bharu, Kelantan kini antara sekolah disegani kerana mencatat pencapaian cemerlang sejak tiga tahun lalu.

Berstatus SMKA Gred A luar bandar, sekolah itu mencapai kecemerlangan setelah memfokuskan hala tujunya, iaitu kepemimpinan dan pengurusan organisasi yang proaktif, berdaya saing dan inovatif

Kini, SMKA Melor berada dalam kelompok 10 sekolah terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.


Kejayaan sekolah itu diiktiraf apabila menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori SMKA Kebangsaan 2009 dan Anugerah Kualiti SMKA Kebangsaan 2009 oleh Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

Pengetuanya, Ramli Awang, berkata tumpuan sekolah itu terhadap perancangan program kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pemantapan sahsiah pelajar sejak awal tahun lagi.

WAKIL SMKA Melor, (dari kiri) Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Ilman Ziat dan Nor Hanna Halim menunjukkan piala selepas menjuarai Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Kebangsaan 2009.

Selari dengan misi mentarbiyahkan pelajar untuk mencapai kegemilangan dalam semua aspek terbabit, katanya, setiap aspek dibangun, disubur dan dizahirkan dalam bentuk dokumentasi dan tugas harian pihak pengurusan sekolah serta guru hingga membawa kepada pencapaian membanggakan.

“Dalam peperiksaan SPM 2008 contohnya, kita berjaya mendahului SMKA lain di negeri Kelantan dengan mencatat pencapaian lulus 100 peratus dalam empat subjek iaitu Kimia, Pendidikan Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Prinsip Perakaunan.

“Malah secara keseluruhan, SMKA Melor menduduki tangga keenam dalam kedudukan 10 sekolah terbaik SPM peringkat negeri dan ketujuh di kalangan 10 SMKA peringkat kebangsaan, tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, pencapaian peringkat PMR 2008 juga tidak kurang hebatnya apabila 40 daripada 142 calon memperoleh 9A dengan lulus keseluruhan 99.3 peratus.

Ramli berkata, warga sekolahnya sentiasa menerima perubahan dengan pemikiran positif dan tidak pernah menganggap tanggungjawab diamanahkan sebagai bebanan, sebaliknya cabaran dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

“Perancangan dan hala tuju sekolah dijadikan agenda utama selari dengan objektif mendidik pelajar dengan keperibadian Islam dan membekalkan mereka ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

“Malah, kita juga berusaha mengembangkan potensi, minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan pelajar dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum berteraskan akademik mahupun sukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha itu berhasil apabila pencapaian pelajar dalam aktiviti terbabit meningkat, antaranya muncul johan Pertandingan Model Jambatan Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Malaysia 2009.

Selain itu, johan Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Kebangsaan 2009, tempat kedua Pertandingan Essei Kepenggunaan Kebangsaan 2008, tempat ketiga Pidato Majlis Keselamatan Jalan Raya anjuran Shell Malaysia 2008.

Seterusnya, menduduki tempat ketiga Tilawah al-Quran Kebangsaan 2009 (Lelaki), pingat perak kategori perempuan 14 hingga 17 tahun Kejohanan Taekwando Kebangsaan 2007.

INFO: SMKA Melor


  • Ditubuhkan 4 Mac 1990 menggunakan peruntukan Projek Bank Dunia.
  • Pada awal penubuhan hanya menawarkan satu mata pelajaran iaitu Bahasa Arab.
  • Enrolmen 665 pelajar dan 21 kelas.
  • Berstatus sekolah kawalan di bawah kendalian Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran.
  • Tuesday, November 17, 2009

    Spm 2009

    Selamat Menduduki peperiksaan SPM kepada semua calon
    SPM 2009 SMKAM


    18 November hingga 16 Disember 2009

    Warga SMKAM mendoakan kejayaan anda semua.
    Kejayaan anda...Kebanggaan kami

    Monday, November 16, 2009

    Jamuan Akhir Tahun 4 IS



    Majlis Jamuan Akhir Tahun
    Kelab guru dan kakitangan SMKAM
    15 November 2009 (8 malam)
    RestoranDynasty,Hotel Renaissance,Kota Bharu

    Antara barisan guru SMKAM

    sempat lagi bergambar kenang-kenangan

    Banyak dapat hamper?

    Khusyuk mendengar ucapan

    Jemputlah makan...jangan segan pula

    Saya punya...saya punya!

    Majlis berakhir...jumpa lagi tahun depan

    Sunday, November 15, 2009

    Majlis Solat Hajat SPM & Restu Ilmu

    Tarikh: 15 November 2009
    Tempat: Surau SMKAM dan Dewan Al-Ghazali SMKAM

    Dimulakan dengan bacaan surah Yasin,kemudian solat hajat

    Tuan Pengetua memberikan amanat kepada ibu bapa dan pelajar spm

    Calon-calon spm 2009 memberi perhatian kepada ucapan/nasihat guru-guru

    Kata-kata perangsang daripada tuan pengetua

    Mohon restu ilmu daripada guru-guru

    Kami doakan anda semua berjaya dalam SPM 09

    Wednesday, November 11, 2009

    Juara reka bentuk jambatan

    Petikan akhbar MetroAhad (Gigs):8 November 2009 ms4-5

    KETIKA tiada perhatian dan sebarang harapan diletakkan ke atas mereka, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor di Padang Raja, Kota Bharu, Kelantan mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Mereka bentuk Model Jambatan Peringkat Antarabangsa 2009, awal Oktober lalu.

    Kejayaan itu bukan saja mengejutkan banyak pihak, malah lima pelajar terbabit turut terkejut kerana itulah pertama kali sekolah mereka menyertai pertandingan berprestij itu dan selama ini kejayaan sering menjadi milik sekolah daripada aliran sains.

    Pertandingan yang mula diperkenalkan tujuh tahun lalu itu disertai 59 kumpulan membabitkan 39 sekolah menengah dari seluruh negara termasuk penyandang juara tahun lalu, Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor.

    Penolong penyelaras projek SMKA Melor , Shamsuddin Musa, berkata pada peringkat awal pihaknya menghantar lima kumpulan untuk menyertai pertandingan itu tetapi dua pasukan saja terpilih ke peringkat akhir selepas pihak penganjur tertarik dengan kertas kerja dan penyampaian video yang dihasilkan mereka.

    Menurutnya, kumpulan pertama dari sekolah itu dikenali sebagai Genuine Engineers (GE) yang dianggotai Muhammad Aiman Arifin, Mohamad Afiq Shuhaimi, Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Nurul Syuhada Ilias dan Fatin Illani Ruzaini Nashrom.

    Kumpulan kedua pula yang terdiri daripada Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Ilman Ziat, Nor Hanna Halim, Nor Fardzera Mohammad dan Nur Fatin Nadia Mohamad Rusdi yang menamakan diri mereka Melorian's Architect (MA).

    "Matlamat kami menyertai pertandingan adalah ingin menimba pengetahuan menyebabkan pihak sekolah tidak menaruh harapan tinggi untuk menang, tetapi sebaliknya berlaku apabila GE diumumkan juara keseluruhan manakala MA memenangi kategori poster dan persembahan multimedia," katanya.

    Menurutnya, pihak sekolah amat berpuas hati dengan kemenangan itu kerana usaha gigih dan penat lelah pelajar, guru serta ibu bapa selama sebulan setengah bagi melakukan persiapan menghadapi pertandingan berkenaan, akhirnya berbaloi.

    "Saya dan ketua penyelaras, Ismail Jaafar, serta dua guru lain, Zulaikha Che Weil dan Nurhidayah Yazid, termasuk pengetua, Ramli Awang, langsung tidak `mencampuri' urusan mereka sebaliknya memberi perangsang serta `modal' bagi membeli bahan dan peralatan persiapan lain.

    "Ini kerana, kita memberi `kebebasan' kepada mereka untuk mereka bentuk sendiri model jambatan termasuk persembahan video mengikut idea dan kreativiti masing-masing," katanya.

    Ketua GE, Muhammad Aiman, berkata dia bersama rakan sekumpulan merujuk Internet bagi mencari idea untuk membentuk jambatan sehingga terpaksa membina lima model sebelum berpuas hati dengan model terakhir, dikenali Jambatan Darulnaim.

    Menurutnya, pada mulanya mereka membina model jambatan daripada kayu jelutong tetapi terpaksa mencari kayu lain selepas beratnya mencecah 160 gram sedangkan syarat ditetapkan tidak boleh melebihi 80 gram.

    "Akhirnya, kayu balsa digunakan kerana ia mudah kenyal atau elastik, sekali gus mengurangkan berat jambatan kepada 75 gram. Pada hari akhir pertandingan, pihak juri kagum sebaik mendapati jambatan kami berjaya menampung bebanan seberat lima kilogram dalam tempoh 30 saat walaupun berat jambatan hanya 75 gram," katanya.

    Mohamad Afiq pula berkata, tiga asas yang menjadi keutamaan pemarkahan adalah ringan dan kukuh yang memperuntukkan markah sebanyak 50 peratus, kreatif dan binaan (30 peratus) dan poster serta persembahan multimedia (20 peratus).

    Menurutnya, pada pertandingan akhir itu, GE memperoleh markah 64.35 peratus sekali gus mengalahkan saingan terdekat dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Kedah yang memperoleh 62.16 peratus manakala kumpulan MA pula meraih 15.5 peratus.

    Nurul Syuhada dan Nor Fardzera Mohammad, berkata mereka ditugaskan oleh Muhammad Ruzaiman dan Muhamad Aiman untuk membuat dan menghiasi landskap.

    "Bagi menambah keceriaan konsep kecintaan alam sekitar, kami meletakkan beberapa objek khas seperti rumah, kereta, patung manusia, pokok serta tumbuhan kecil di setiap hujung jambatan bagi tampak lebih realistik, selain turut melukis pemandangan dan juga sungai.

    "Disebabkan sibuk dengan pembelajaran, kami terpaksa memperuntukkan masa dua minggu bagi menyiapkan sepenuhnya landskap berkenaan," katanya.

    Menurut Muhammad Ruzaiman, kefasihan Nur Fatin Nadia berbahasa Inggeris ketika menyampaikan persembahan video banyak membantu pasukan MA memenangi kategori poster dan multimedia.

    "Yang penting, semangat berpasukan yang ditonjolkan MA dan GE, selain sokongan padu guru dan pengetua adalah `senjata' utama kemenangan sekolah kami," katanya.

    Selaku juara keseluruhan bagi peringkat sekolah, GE membawa pulang wang tunai RM1,500 manakala GE yang menduduki tempat pertama bagi kategori persembahan poster dan multimedia dan meraih RM1,000 lagi.

    Sebanyak 130 model jambatan dipertandingkan dalam pertandingan edisi ketujuh anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor itu yang turut disertai 70 kumpulan daripada institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

    Pertandingan bertujuan mencungkil bakat di kalangan pelajar untuk mengemukakan idea kreatif, selain menarik minat mereka menceburi bidang Kejuruteraan Awam dan Struktur itu adalah terbuka kepada pelajar tingkatan empat hingga enam, manakala IPT pula untuk mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian ijazah pertama di universiti awam dan swasta.


    PROFIL

    NAMA : Muhammad Aiman Arifin
    UMUR : 16 tahun
    LAHIR : 25 Mei 1993
    ASAL : Kok Lanas, Kota Bharu
    PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
    CITA-CITA : Doktor

    NAMA : Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail
    UMUR : 16 tahun
    LAHIR : 25 Disember 1993
    ASAL : Peringat, Kota Bharu
    PENCAPAIAN : Johan Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Peringkat Kebangsaan 2009
    CITA-CITA : Doktor

    NAMA : Mohamad Afiq Shuhaimi
    UMUR : 16 tahun
    LAHIR : 12 Mei 1993
    ASAL : Kulim, Kedah
    PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
    CITA-CITA : Jurutera

    NAMA : Nurul Syuhada Ilias
    UMUR : 16 tahun
    LAHIR : 14 Disember 1993
    ASAL : Melor, Kota Bharu
    PENCAPAIAN : Naib Johan Kem 3P Peringkat Negeri 2009
    CITA-CITA : Guru

    NAMA : Nor Fardzera Mohammad
    UMUR : 16 tahun
    LAHIR : 12 Ogos 1993
    ASAL : Melor, Kota Bharu
    PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
    CITA-CITA : Guru

    Monday, November 9, 2009

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...