Wednesday, November 11, 2009

Juara reka bentuk jambatan

Petikan akhbar MetroAhad (Gigs):8 November 2009 ms4-5

KETIKA tiada perhatian dan sebarang harapan diletakkan ke atas mereka, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor di Padang Raja, Kota Bharu, Kelantan mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Mereka bentuk Model Jambatan Peringkat Antarabangsa 2009, awal Oktober lalu.

Kejayaan itu bukan saja mengejutkan banyak pihak, malah lima pelajar terbabit turut terkejut kerana itulah pertama kali sekolah mereka menyertai pertandingan berprestij itu dan selama ini kejayaan sering menjadi milik sekolah daripada aliran sains.

Pertandingan yang mula diperkenalkan tujuh tahun lalu itu disertai 59 kumpulan membabitkan 39 sekolah menengah dari seluruh negara termasuk penyandang juara tahun lalu, Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor.

Penolong penyelaras projek SMKA Melor , Shamsuddin Musa, berkata pada peringkat awal pihaknya menghantar lima kumpulan untuk menyertai pertandingan itu tetapi dua pasukan saja terpilih ke peringkat akhir selepas pihak penganjur tertarik dengan kertas kerja dan penyampaian video yang dihasilkan mereka.

Menurutnya, kumpulan pertama dari sekolah itu dikenali sebagai Genuine Engineers (GE) yang dianggotai Muhammad Aiman Arifin, Mohamad Afiq Shuhaimi, Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Nurul Syuhada Ilias dan Fatin Illani Ruzaini Nashrom.

Kumpulan kedua pula yang terdiri daripada Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail, Ilman Ziat, Nor Hanna Halim, Nor Fardzera Mohammad dan Nur Fatin Nadia Mohamad Rusdi yang menamakan diri mereka Melorian's Architect (MA).

"Matlamat kami menyertai pertandingan adalah ingin menimba pengetahuan menyebabkan pihak sekolah tidak menaruh harapan tinggi untuk menang, tetapi sebaliknya berlaku apabila GE diumumkan juara keseluruhan manakala MA memenangi kategori poster dan persembahan multimedia," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah amat berpuas hati dengan kemenangan itu kerana usaha gigih dan penat lelah pelajar, guru serta ibu bapa selama sebulan setengah bagi melakukan persiapan menghadapi pertandingan berkenaan, akhirnya berbaloi.

"Saya dan ketua penyelaras, Ismail Jaafar, serta dua guru lain, Zulaikha Che Weil dan Nurhidayah Yazid, termasuk pengetua, Ramli Awang, langsung tidak `mencampuri' urusan mereka sebaliknya memberi perangsang serta `modal' bagi membeli bahan dan peralatan persiapan lain.

"Ini kerana, kita memberi `kebebasan' kepada mereka untuk mereka bentuk sendiri model jambatan termasuk persembahan video mengikut idea dan kreativiti masing-masing," katanya.

Ketua GE, Muhammad Aiman, berkata dia bersama rakan sekumpulan merujuk Internet bagi mencari idea untuk membentuk jambatan sehingga terpaksa membina lima model sebelum berpuas hati dengan model terakhir, dikenali Jambatan Darulnaim.

Menurutnya, pada mulanya mereka membina model jambatan daripada kayu jelutong tetapi terpaksa mencari kayu lain selepas beratnya mencecah 160 gram sedangkan syarat ditetapkan tidak boleh melebihi 80 gram.

"Akhirnya, kayu balsa digunakan kerana ia mudah kenyal atau elastik, sekali gus mengurangkan berat jambatan kepada 75 gram. Pada hari akhir pertandingan, pihak juri kagum sebaik mendapati jambatan kami berjaya menampung bebanan seberat lima kilogram dalam tempoh 30 saat walaupun berat jambatan hanya 75 gram," katanya.

Mohamad Afiq pula berkata, tiga asas yang menjadi keutamaan pemarkahan adalah ringan dan kukuh yang memperuntukkan markah sebanyak 50 peratus, kreatif dan binaan (30 peratus) dan poster serta persembahan multimedia (20 peratus).

Menurutnya, pada pertandingan akhir itu, GE memperoleh markah 64.35 peratus sekali gus mengalahkan saingan terdekat dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Kedah yang memperoleh 62.16 peratus manakala kumpulan MA pula meraih 15.5 peratus.

Nurul Syuhada dan Nor Fardzera Mohammad, berkata mereka ditugaskan oleh Muhammad Ruzaiman dan Muhamad Aiman untuk membuat dan menghiasi landskap.

"Bagi menambah keceriaan konsep kecintaan alam sekitar, kami meletakkan beberapa objek khas seperti rumah, kereta, patung manusia, pokok serta tumbuhan kecil di setiap hujung jambatan bagi tampak lebih realistik, selain turut melukis pemandangan dan juga sungai.

"Disebabkan sibuk dengan pembelajaran, kami terpaksa memperuntukkan masa dua minggu bagi menyiapkan sepenuhnya landskap berkenaan," katanya.

Menurut Muhammad Ruzaiman, kefasihan Nur Fatin Nadia berbahasa Inggeris ketika menyampaikan persembahan video banyak membantu pasukan MA memenangi kategori poster dan multimedia.

"Yang penting, semangat berpasukan yang ditonjolkan MA dan GE, selain sokongan padu guru dan pengetua adalah `senjata' utama kemenangan sekolah kami," katanya.

Selaku juara keseluruhan bagi peringkat sekolah, GE membawa pulang wang tunai RM1,500 manakala GE yang menduduki tempat pertama bagi kategori persembahan poster dan multimedia dan meraih RM1,000 lagi.

Sebanyak 130 model jambatan dipertandingkan dalam pertandingan edisi ketujuh anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor itu yang turut disertai 70 kumpulan daripada institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Pertandingan bertujuan mencungkil bakat di kalangan pelajar untuk mengemukakan idea kreatif, selain menarik minat mereka menceburi bidang Kejuruteraan Awam dan Struktur itu adalah terbuka kepada pelajar tingkatan empat hingga enam, manakala IPT pula untuk mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian ijazah pertama di universiti awam dan swasta.


PROFIL

NAMA : Muhammad Aiman Arifin
UMUR : 16 tahun
LAHIR : 25 Mei 1993
ASAL : Kok Lanas, Kota Bharu
PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
CITA-CITA : Doktor

NAMA : Muhamad Ruzaiman Mohd Ismail
UMUR : 16 tahun
LAHIR : 25 Disember 1993
ASAL : Peringat, Kota Bharu
PENCAPAIAN : Johan Kem Pendidikan Alam Semula Jadi Peringkat Kebangsaan 2009
CITA-CITA : Doktor

NAMA : Mohamad Afiq Shuhaimi
UMUR : 16 tahun
LAHIR : 12 Mei 1993
ASAL : Kulim, Kedah
PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
CITA-CITA : Jurutera

NAMA : Nurul Syuhada Ilias
UMUR : 16 tahun
LAHIR : 14 Disember 1993
ASAL : Melor, Kota Bharu
PENCAPAIAN : Naib Johan Kem 3P Peringkat Negeri 2009
CITA-CITA : Guru

NAMA : Nor Fardzera Mohammad
UMUR : 16 tahun
LAHIR : 12 Ogos 1993
ASAL : Melor, Kota Bharu
PENCAPAIAN : Menyertai Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2009
CITA-CITA : Guru

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...