Friday, June 4, 2010

NUTP minta kaji pekeliling kerja pada dua Sabtu

2010/06/02 myMetro
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 agar memansuhkan peruntukan yang membenarkan guru bekerja dua hari Sabtu setiap bulan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata guru juga perlu mendapat lima hari bekerja seperti penjawat awam yang lain dan mendapat hak yang sama rata seperti mereka.“NUTP mendapati ramai guru dipanggil bekerja, mengikuti kursus dan sebagainya pada Sabtu.

Pendirian kami masih tetap mengikut pekeliling yang lama iaitu kerja dari Isnin hingga Jumaat sahaja dan berasakan kaum pendidik seperti dianaktirikan sekiranya perlu bekerja pada Sabtu,” katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.

NUTP turut menggesa supaya pihak pengurusan sekolah tidak meminta guru untuk bertugas semasa cuti penggal persekolahan.“Perkara ini tidak boleh berterusan kerana guru juga memerlukan masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga .Tindakan memaksa mereka datang bekerja pada hari cuti akan membuatkan guru tertekan sekali gus menjejaskan prestasi mereka,” kata Hashim Selain itu, katanya, guru besar dan pengetua sekolah diingatkan supaya tidak mengadakan kelas tambahan pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agung, Sabtu ini.

“Kita amat kesal dengan tindakan segelintir sekolah yang memaksa guru mengadakan kelas tambahan pada hari berkenaan dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir.“Mereka bukan saja dipaksa untuk bertugas pada cuti umum malah turut diarahkan mengadakan kelas tambahan pada cuti penggal. Kami berasakan perkara ini sudah melampau,” katanya.

Katanya, NUTP sudah menasihatkan guru sekolah terbabit tidak hadir malah tidak akan teragak-agak untuk mencabar guru besar berkenaan jika mengenakan tindakan terhadap mereka. Selain itu, Hashim berkata NUTP juga mahu kerajaan melihat secara serius mengenai isu penjawat awam wanita yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, tidak menikmati cuti bersalin malah langsung tiada cuti bersalin.

Beliau meminta supaya penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, diberi cuti bersalin yang sama seperti penjawat wanita yang melahirkan anak pertama.
“Kalau seorang wanita tidak diberi cuti bersalin 60 hari apabila dia melahirkan anak keenam, dia akan mengambil cuti satu atau dua minggu kemudian terpaksa bekerja semula. “Ini akan menjejaskan kesihatannya. Dia ambil cuti tanpa gaji bermakna tiada pendapatan. Kenapa kita perlu memberi layanan sebegitu,” katanya sambil menyokong sepenuhnya perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu pekerja wanita harus diberi 90 hari cuti bersalin.

Sementara itu, Hashim juga menegaskan NUTP tetap membantah cadangan mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan bagi meningkatkan integriti dan kualiti pendidikan.Beliau berkata perkara terbabit akan membebankan para guru dan akan membabitkan kos yang amat tinggi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...