Sunday, June 6, 2010
Friday, June 4, 2010
NUTP minta kaji pekeliling kerja pada dua Sabtu
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005 agar memansuhkan peruntukan yang membenarkan guru bekerja dua hari Sabtu setiap bulan.
Presidennya, Hashim Adnan berkata guru juga perlu mendapat lima hari bekerja seperti penjawat awam yang lain dan mendapat hak yang sama rata seperti mereka.“NUTP mendapati ramai guru dipanggil bekerja, mengikuti kursus dan sebagainya pada Sabtu.
Pendirian kami masih tetap mengikut pekeliling yang lama iaitu kerja dari Isnin hingga Jumaat sahaja dan berasakan kaum pendidik seperti dianaktirikan sekiranya perlu bekerja pada Sabtu,” katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng.
NUTP turut menggesa supaya pihak pengurusan sekolah tidak meminta guru untuk bertugas semasa cuti penggal persekolahan.“Perkara ini tidak boleh berterusan kerana guru juga memerlukan masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga .Tindakan memaksa mereka datang bekerja pada hari cuti akan membuatkan guru tertekan sekali gus menjejaskan prestasi mereka,” kata Hashim Selain itu, katanya, guru besar dan pengetua sekolah diingatkan supaya tidak mengadakan kelas tambahan pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agung, Sabtu ini.
“Kita amat kesal dengan tindakan segelintir sekolah yang memaksa guru mengadakan kelas tambahan pada hari berkenaan dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir.“Mereka bukan saja dipaksa untuk bertugas pada cuti umum malah turut diarahkan mengadakan kelas tambahan pada cuti penggal. Kami berasakan perkara ini sudah melampau,” katanya.
Katanya, NUTP sudah menasihatkan guru sekolah terbabit tidak hadir malah tidak akan teragak-agak untuk mencabar guru besar berkenaan jika mengenakan tindakan terhadap mereka. Selain itu, Hashim berkata NUTP juga mahu kerajaan melihat secara serius mengenai isu penjawat awam wanita yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, tidak menikmati cuti bersalin malah langsung tiada cuti bersalin.
Beliau meminta supaya penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, diberi cuti bersalin yang sama seperti penjawat wanita yang melahirkan anak pertama.
“Kalau seorang wanita tidak diberi cuti bersalin 60 hari apabila dia melahirkan anak keenam, dia akan mengambil cuti satu atau dua minggu kemudian terpaksa bekerja semula. “Ini akan menjejaskan kesihatannya. Dia ambil cuti tanpa gaji bermakna tiada pendapatan. Kenapa kita perlu memberi layanan sebegitu,” katanya sambil menyokong sepenuhnya perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu pekerja wanita harus diberi 90 hari cuti bersalin.
Sementara itu, Hashim juga menegaskan NUTP tetap membantah cadangan mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan bagi meningkatkan integriti dan kualiti pendidikan.Beliau berkata perkara terbabit akan membebankan para guru dan akan membabitkan kos yang amat tinggi.
Wednesday, June 2, 2010
Sunday, May 30, 2010
Tuesday, May 18, 2010
25 setiap kelas
KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.
“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.
“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.
Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.
Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.
Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.
Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.
Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.
Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’
Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.
“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.
Berita Harian 18 Mei 2010













