Tuesday, December 8, 2009

Subjek tambahan SPM diambil kira

Petikan myMetro 8 Disember 2009

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.

Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.

“Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Alimuddin berkata, keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran.

Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama.

“Dengan formula 10+2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.

“Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas,” kata Alimuddin.

Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran.

Alimuddin berkata, syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

Kata beliau, pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.

“Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...