KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) semalam menawarkan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 untuk mengikuti 13 jenis Latihan Separa Perubatan bertaraf Diploma dan Sijil bagi kemasukan Julai 2010.
Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo, berkata latihan itu ditawarkan secara percuma dan mereka yang terpilih akan mendapat jaminan penempatan pekerjaan secara tetap.
Katanya, latihan bertaraf diploma akan dijalankan selama tiga tahun manakala latihan bertaraf sijil pula adalah selama dua setengah tahun dan jumlah kekosongan yang ditawarkan adalah sebanyak 3,315 orang. Beliau berkata, had umur untuk calon memohon Latihan Separa Perubatan adalah tidak kurang 17 tahun dan tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan bagi calon lantikan terus manakala bagi Pegawai Sedang Berkhidmat untuk Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) pula hendaklah berumur kurang 51 tahun.
“Program Latihan Bertaraf Diploma yang ditawarkan adalah Juru X-ray, Jururawat, Jurupulih Perubatan (Cara Kerja dan Anggota), Penolong Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian dan Jururawat Pergigian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, selepas tamat latihan, pelatih akan dilantik secara tetap dan diberi penempatan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
“Oleh yang demikian, calon tidak perlu risau untuk mencari pekerjaan selepas menamatkan latihan. Selain belajar secara percuma, pelatih juga akan diberikan biasiswa bulanan,” katanya.
Beliau berkata, tarikh akhir permohonan pada Khamis ini. Keterangan lanjut tawaran boleh layari portal SPA di www.spa.gov.my.
Berita Harian:23 Mac 2010
No comments:
Post a Comment